Perkembangan politik di Sabah sangat rencam disebabkan oleh kependudukan rakyat Sabah yang sangat unik dan majmuk. Dianggarkan tidak kurang daripada 30 suku kaum yang wujud di negeri bawah bayu itu. Penduduk asli Sabah sukar ditentukan kerana sejarah Sabah yang sangat rencam dan pelbagai. Daripada pemerintahan Kesultanan Brunei ke Kesultanan Sulu seterusnya ke penjajah Eropah, adalah sangat sukar untuk menentukan suku kaum mana yang benar-benar menjadi kaum pribumi Sabah.
Adilkah jika bangsa lain yang juga turut tercatat dalam sejarah pembentukan Sabah dinafikan hak sebagai bumiputera Sabah? Individu yang buta sejarah dan tidak membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum menyiarkan sebarang artikel hanya akan memakan dan memalukan diri sendiri. Wajarkah hasil tulisan individu seperti ini dibaca atau disiarkan? Cukup memalukan bagi sebuah blog yang memperjuangkan kebenaran dengan "trade mark" anti-fintah menyiarkan artikel yang terpesong daripada kebenaran.
Isu bumiputera di Sabah tidak akan selesai sekiranya individu seperti ini wujud di bumi yang dirahmati ini. Keharmonian rakyat Sabah pada masa kini berada pada tahap yang sangat baik. Mengapa perlu menimbulkan isu sensitif yang hanya akan menghancurkan kesejahteraan Sabah? Penulis seharusnya disiasat di bawah Akta Hasutan dengan penulisan yang semberonoh dan tidak berasas. Sampai bilakah suku kaum lain di Sabah terus dihina dan diperkecilkan oleh suku kaum yang mendakwa penduduk asal Sabah? Tindakan harus diambil agar perkara yang menjadi duri dalam daging seperti ini terus dibendung agar kematangan berpolitik di Malaysia khususnya di Sabah boleh dibanggakan di peringkat global.
Setiap suku kaum yang wujud di Sabah mempunyai sejarah yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan negeri. Isu penduduk asal seharusnya tidak ditimbulkan kerana sejarah telah membuktikan yang Sabah ini pernah diperintah oleh beberapa buah kerajaan sebelum menyertai Malaya untuk merdeka pada tahun 1963. Setiap suku kaum sepatutnya diberikan hak yang sama dan perlu diangkat taraf sebagai bumiputera sekiranya ada bukti sejarah yang sahih kewujudan mereka di Sabah sebelum kemerdekaan dicapai. Sumbangan suku kaum lain tidak perlu dipertikaikan malah perlu dimartabatkan sebagai keunikan yang tiada tolok bandingannya di dunia.
Ringkasnya, sampai bila kita harus memperkecilkan dan mempersendakan suku kaum lain? Hebat sangatkah suku kaum anda sehingga sanggup mentertawakan dan memperolok-olokkan suku kaum lain? Besar sangatkah sumbangan suku kaum anda sehingga boleh diiktiraf sebagai pejuang kemodenan Sabah? Anda tulis anda yang seharusnya menjawab. Jangan tulis sesuatu yang dengkel dan memalukan diri anda sebagai pejuang kebenaran. Laungan anti-fitnah seharusnya anda pikul dengan gagah kerana ia amat berat untuk dilaksanakan. Jangan hanya pandai berbicara tanpa usul periksa.